Kelantan menyumbang 1.8 peratus kepada ekonomi nasional pada tahun 2018 dengan merekodkan nilai ditambah RM24.1 bilion (2017: RM23.5 bilion). Sektor Perkhidmatan dan Pertanian merupakan dua (2) sektor yang mendominasi struktur ekonomi Kelantan. Kedua-dua sektor ini masing-masing menjana RM16.7 bilion (69.3 peratus) dan RM5.4 bilion (22.5 peratus) kepada nilai KDNK Kelantan.

Friday, July 10, 2020

BANCI 2020 BAKAL MEMPERLIHATKAN PERUBAHAN SOSIO-EKONOMI NEGARA


KENYATAAN MEDIA
BANCI 2020 BAKAL MEMPERLIHATKAN PERUBAHAN SOSIO-EKONOMI NEGARA
Lebih enam dekad telah berlalu sejak negara menikmati kemerdekaan. Pelbagai pola hidup masyarakat berbilang kaum telah kita alami dalam mengorak langkah mencapai status negara maju. Perubahan dari sudut sosio-ekonomi, infrastruktur dan prasarana seperti pendidikan, kesihatan, perumahan dan banyak lagi. Berbanding dengan keadaan Tanah Melayu sebelum merdeka di bawah jajahan British, Malaysia kini menunjukkan perkembangan yang lebih positif dan membanggakan. Yang jelas di sini, perancangan pembangunan dijalankan adalah untuk keperluan penduduk dan ia berdasarkan maklumat yang diperolehi dari bancian.
Dengan adanya data banci penduduk, pemerintah boleh mengetahui perkembangan pertumbuhan penduduk sekaligus boleh membantu merancang arah perkembangan pembangunan yang ingin dilaksanakan. Bahkan di Malaysia banci penduduk amat penting kerana ia boleh memberi suatu rentetan sejarah perkembangan dan pertumbuhan penduduk terutama di Semenanjung Malaysia.
Dalam tren ekonomi semasa, dijangkakan kadar populasi penduduk miskin akan meningkat memandangkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) 2019 yang meletakkan RM980 bagi isi rumah sudah tidak relevan.
Selain itu, tren belia dari segi pekerjaan turut sudah berubah berbanding sedekad yang lalu. Ditambah dengan kesan daripada pandemik COVID-19, ramai belia di Malaysia telah dibuang kerja dan penglibatan mereka di dalam ekonomi GIG dan freelance bakal membentuk sebuah perubahan dalam corak sosio ekonomi negara. Hal ini bakal memperlihatkan beberapa dasar kerajaan bakal digubal dalam melindungi golongan yang terjejas dari segi ekonomi ini.
MBM berpendirian data banci yang dilakukan oleh kerajaan selang 10 tahun sekali bukan satu dokumen mengenai penduduk semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ini kerana, ia boleh memberi gambaran tentang apa yang berlaku ke atas penduduk terhadap sesuatu dasar dan polisi kerajaan yang dilaksanakan sebelumnya. Apa yang penting, data tersebut dapat menjadi satu garis panduan kepada perancangan pembangunan sosio-ekonomi serta dasar dan polisi kerajaan yang akan dilaksanakan.
MBM mengajak seluruh belia dan rakyat untuk jayakan dengan bersungguh sungguh Banci 2020 dalam membantu kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat demi masa depan Negara.
JUFITRI JOHA

Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 8 Julai 2020

Artikel dipetik dari : https://www.facebook.com/StatsMalaysia/posts/3357005840987679